Saturday, 12 September 2015

REFLEKTIF

Alhamdulillah hirrabbil’alamin, saya merafakkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat saya menyelesaikan tugasan kerja kursus GKB 1053 ini dengan penuh jayanya. Tugasan ini merupakan tugasan pertama yang saya lakukan sepanjang saya berada di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka. Namun, saya akui dengan jujur bahawa proses menyiapkan tugasan ini bukanlah semudah yang disangka.Terima kasih diucapkan kepada pensyarah saya iaitu En. Ariff Fadillah Khalil, AAP kerana telah banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada kawan saya yang banyak membantu dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai mata pelajaran ini.

Memandangkan ini merupakan pengalaman pertama dalam menyiapkan tugasan, banyak perkara yang menjadi cabaran dalam menyempurnakan kerja kursus ini. Antaranya adalah masalah untuk menyesuaikan diri dalam proses melaksanakan kerja kursus Tetapi, saya berusaha untuk merujuk pensyarah bimbingan saya dan alhamdulillah saya telah mendapat gambaran awal untuk melakukan tugasan ini.

Pelajar sendiri perlu mencari bahan, mengolah bahan, menyediakan dengan baik seterusnya menghantar output yang sempurna kepada pensyarah untuk disemak. Berbeza sewaktu di bangku persekolahan dahulu, guru yang banyak memberi bahan kepada murid-murid, namun berbeza ceritanya di sini.

Melalui kerja kursus ini, saya telah didedahkan dengan aspek penggunaan ICT. Hal ini kerana, tugasan ini memerlukan saya untuk menghasilkan satu blog dan berkongsi bahan-bahan pembelajaran. Selain itu, saya juga baharu sahaja mengetahui yang mana aspek ICT mempunyai cabang yang cukup besar. Contohnya aplikasi dalam komputer yang cukup banyak dalam memudahkan kerja saya sebagai pelajar IPG yang memerlukan kemahiran menggunakan alatan elektronik seperti komputer dengan cekap.

 Namun, secara jujurnya saya akui, dalam proses melaksanakan kerja kursus ini saya menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Antaranya ialah aspek pengurusan masa. Hal ini kerana, waktu kuliah habis pada lewat petang menyebabkan keletihan melanda. Oleh itu, waktu yang ada hanyalah pada waktu malam. Namun, sebagai pelajar IPG, saya bukan hanya mempunyai satu kerja kursus untuk dsiapkan. Ditambah pula dengan pelbagai pembentangan yang perlu dilakukan dengan tugasan lain, kekangan masa menjadi perencat perjalanan saya menyiapkan kerja kursus ini. Oleh itu, saya telah mengambil jalan penyelesaian dengan merangka jadual belajar dalam membantu saya membahagikan masa dengan seoptimum mungkin.

 Saya juga mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri dengan format tugasan. Hal ini demikian kerana, membuat kerja kursus pada tahap sekolah menengah dahulu tidak sama dengan membuat kerja kursus di peringkat IPG. Hal ini memandangkan kerja kursus di peringkat IPG merupakan satu kerja kursus yang perlu dilakukan dengan mengutamakan aspek ilmiah dalam hasil tugasan tersebut.

 Masalah teknikal seperti kerosakan laptop pada saat-saat melaksanakan kerja kursus juga sukar diramal. Oleh itu, sebelum berlakunya kejadian seperti itu, saya telah membuat fail back up untuk mengelakkan masalah yang tidak diundang seperti laptop tidak dapat berfungsi dengan baik dan menyebabkan kehilangan fail yang penting tidak terjadi.

  Tuntasnya, pelbagai kelebihan dan kelemahan yang ditemui dalam menyiapkan tugasan kerja kursus ini. Sehubungan dengan itu, kelebihan yang diperolehi itu hendaklah dijadikan amalan manakala kelemahan pula seharusnya dijadikan pengajaran dan sempadan kepada diri saya kelak. Saya berasa sangat bersyukur dapat menyiapkan kerja kursus ini dengan selengkapnya dan menghantarnya pada tarikh yang ditetapkan. Tugasan ini juga sememangnya satu tugasan yang baik kerana dapat mendedahkan diri saya kepada aspek ICT yang ramai masyarakat fikir ianya satu perkara yang leceh dan merumitkan dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment